Assalamualaikum

>> Wednesday, 20 June 2012

Setelah sekian lama, rasa nak menulis blog semula. Sebenarnya dari dulu lagi nak buat blog baru sempena pulang ke tanah air sejak habis belajar di NZ. Tapi hajat tak kesampaian disebabkan kemalasan untuk menghias blog. Lalu, hampir 18 bulan aku tak berblogging dan blog ini dibiarkan.


Dan sekarang, rasa nak menulis semula, mungkin aku patut teruskan saja dengan blog yang sedia ada ni supaya tak membazir tenaga dan masa. Hehe... Tapi terasa jugak nak buat blog yang baru untuk cerita hal-hal dunia baru. Link-link kepada blog rakan-rakan kat tepi ni pun dah macam tak valid lagi dah. Kepada sesiapa yang baca ni, boleh la bagi link blog anda yang terbaru. Lagi senang nak tahu cerita-cerita terkini korang semua...

Ok lah. Nak kumpul idea-idea untuk dikongsikan. Rasanya terlalu banyak cerita yang aku nak kongsi. Hmm..apa agaknya cerita best yang aku ada ni? Kepada anda semua, nantikan kemunculan blog blog terbaru aku akan datang... Jeng..jeng..jeng...

Read more...

Ketenangan itu...

>> Thursday, 2 December 2010

11 hari di tanah airku Malaysia
menganggur di kampung

BEST



Puisi: MATA AYAH

Kujabat mesra tangan ayah
urat-urat daging-daging tua keras terasa
mataku tersenyum, matanya menyapa
anak yang pulang disambut mesra.

Tapi kolam matanya, mata yang menatapku
kolam-kolam derita dan pudar bulan pagi
garis-garis putih lesu melingkungi hitam-suram
suatu kelesuan yang tak pernah dipancarkan dulu.

Kelibat senyum matanya masih jua ramah
akan menutup padaku kelesuan hidup sendiri
bagai dalam suratnya dengan kata-kata riang
memintaku pulang menikmati beras baru.

Anak yang pulang disisi ayahnya maka akulah
merasakan kepedihan yang tercermin di mata
meski kain pelekatnya bersih dalam kesegaran wuduk
dan ia tidak pernah merasa, sebab derita itu adalah dia.

Usman Awang
Gurindam Alam
1994


Planet Jupiter pada tarikh 28 November 2010.

Read more...

24 hours to go

>> Saturday, 20 November 2010

Sekarang, tinggal 24 jam saja lagi aku akan berangkat pulang ke Malaysia, tanah air ku... Setelah 4 tahun lamanya menanti saat ini. Aku mahu pulang!

Fikiranku melayang memikirkan apa perasaanku sekarang ni. Suka? Sedih? Nak balik? Tak nak balik?

Sepanjang aku di sini, tahun 2010 merupakan tahun yang paling banyak ku ungkapkan perkataan "aku nak balik!!!". Tahun yang paling menguji ketahanan emosi. Tahun ini juga merupakan tahun yang paling banyak aku berkomunikasi dengan ramai orang dari pelbagai latar belakang.

Bermula dengan bekerjasama selama setahun dengan supervisor dan pelajar-pelajar PhD bawah jagaannya. Seronok bila ada meja sendiri di ofis. Hari-hari lepak tempat yang sama untuk study, tak perlu mencari-cari tempat di library lagi.

Awal tahun dulu aku pernah ceritakan trip aku ke Mt John. Trip pertama aku keseorangan tanpa rakan melayu, dan 2 malam berkongsi bilik dengan supervisor. Dalam trip ini juga aku berjumpa dengan ahli-ahli astronomi dari Jepun dan vice chancellor UC bersama isterinya. Pada sebelah malamnya berjaga untuk melihat proses pencerapan langit dan mengumpul data-data. Aku hanya memerhati saja student PhD yang melakukan tugasnya, sambil tu habiskan masa berborak-borak dengan dia punya husband. Kesian aku bosan takde sape nak sembang dalam melayu.


My supervisor, Dr Karen Pollard. Setahun lamanya di bawah jagaannya. Gambar semasa poster presentation.


Tahun ini, kali pertama dalam sejarah aku jumpa counselor kerana masalah emosi. Tekanan perasaan yang tak dapat tertanggung lagi menyebabkan tidurku terganggu, siangku tidak bermaya, kesihatan tidak memuaskan dan diiringi beberapa 'tangisan'. Mulanya aku terus jumpa dokter. Tapi dokter kata aku sihat, dan terus aturkan pertemuan dengan counselor. Sejam pertemuan dengan counselor, aku diatur satu lagi pertemuan 1-to-1, dengan orang dari Learning Skill Center. Betul-betul tak terkawal dah tekanan dalam otak aku rupanya. Huhuhu... Lepas tu dah ok dah... Study pun makin semangat bila dah pertengahan tahun.

Dinner bersama kiwi famili di Christchurch. Aku dijemput dan dihantar dengan kereta ke rumah mereka. Siap request jenis makanan seafood lagi. Nasib baiklah mereka faham. Seronoknya bersembang-sembang dengan orang-orang "yang berpengalaman" di sini. Dengar cerita mereka travel sana-sini, pengalaman orang putih yang boleh dikatakan mewah la.

Banyak lagi peristiwa lain. Yang pasti, aku puas dah duduk Christchurch selama 4 tahun. Rasa tak menyesal tinggalkan bumi New Zealand ini. Banyak ilmu dan pengalaman dah aku terima. Siap sedia untuk berangkat!








Sedikit perkongsian imej menarik dari astronomers nz. Maaf, tak sempat nak kongsikan info-info gambar tersebut.

NGC 2070 - 8 November 2010



Horsehead Nebula - 1 Nov 2010

Read more...

Esok exam... Doakan...

>> Thursday, 4 November 2010

AMAR - Untukmu Tersayang

untukmu yang tersayang
bermain di fikiran
apakah masih ada ruang
untuk bersama
padamu ayah bonda
permata hati bersinar
doa yang ku damba untukmu
tanda cintaku
tanda kasihku
lihatlah diriku ini
hasil titik peluhmu mendidik
hingga ku genggam bintang di langit
indah terang bercahaya
anak soleh idaman insan bertaqwa
kan terkota akhirnya
gerbang bahgia setia menanti
tanda keikhlasan hati ini
pengorbananmu menggunung tinggi
kasih sayang mu bima sakti
tiada cara untukku atasi
mulianya dirimu di sisi Yang Esa
kau permata hatiku
ayah dan bonda



Read more...

Study Week

>> Monday, 25 October 2010

Minggu ulangkaji sudah bermula. Exam pertama Sabtu ini. 3 subjek semuanya. 10 Nov exam terakhir. Mesti tekun tekun dan tekun. Dengan harapan semoga aku dapat buat yang terbaik... Ya Allah... permudahkanlah urusanku...

Study...
Study...
Study...

Kpd yang tak datang tempoh hari, inilah poster yang di'present'kan atas kertas bersaiz A0. Cantik kan? Thank you byk2 untuk Firdaus Hassan dan Ahmad Alias atas kesudian meng'edit' latar belakang poster. Mekasih2.



Bulan penuh yang baru mula terbit pada waktu senja. Agak pudar kerana langit masih terang dan juga ada awan-awan dan kabus. Gambar diambil petang semalam oleh ahli astronomi NZ, Maurice.


Jupiter sekali lagi. Maaf ye, objek menarik bulan ini hanyalah planet ini. Jadi, pencerap2 banyak berkongsi gambar yang sama saja. Gambar diambil oleh Mike, NzAstronomer.

Read more...

Poster Presentation

>> Sunday, 24 October 2010


Bulan purnama 2 malam yang lalu

Sambungan entry semalam, selesai sudah poster presentation. Tapi malas nak cerita panjang. Memandangkan Farah dah ada blog baru, dan sempena entry pertamanya pasal aku, mari kita lihat sama-sama: http://mybubbletea.blogspot.com/

Banyak gambar sekitar presentation tersebut. Yang paling best, gambar bersama supervisor tersayang... Cewah~ akhirnya dapat gak bergambar dengan Cikgu Karen.


Jupiter yang asyik menyerlah sepanjang Oktober ini... Jelas kelihatan bulan-bulan milik planet ini...


Read more...

Finally... Last day of lectures for the year

>> Friday, 22 October 2010

Hari ni merupakan hari terakhir sesi kuliah semester ini dan juga untuk tahun ini. Hari ini juga merupakan hari terakhir untuk aku bersusah payah memikirkan masalah projek tahun akhir. Petang ini bakal diadakan sesi poster ala-ala conference di mana kami, pelajar tahun keempat perlu berdiri di sebelah poster masing-masing sepanjang tempoh itu. Ada 2 orang yang akan mengadili kami dan markah merangkumi 15% daripada keseluruhan markah projek.

Disebabkan aku dah naik bosan dengan kerja-kerja projek yang tak habis-habis setahun lamanya, aku buat tak ambil kesah sangat pasal presentation kali ni. Lagi 5 jam bakal berlangsungnya sesi poster itu, dalam fikiranku memikirkan pakaian apakah yang sesuai untuk dipakai. Bukan kerana tak dapat memilih, tapi hanya baju-baju yang dah lusuh saja yang ada dalam almari. Oleh kerana lagi sebulan saja nak balik Malaysia, aku perlu mengurangkan jumlah barang nak dibawa balik. Lalu, kadar pembelian baju tahun ini lebih sedikit berbanding tahun-tahun pertama aku di sini. Nak pakai baju apa ni?

Saat ini aku terfikir, kenapa waktu-waktu ini aku gunakan untuk meng'update' blog? Tahukah aku bahawa presentation petang ini sama pentingnya seperti presentation yang pernah aku lalui bulan Julai yang lalu? Kedua-duanya sama penting. Kedua-duanya 15%.

Ok. Nak ready. Wish me luck!
Doakan kejayaanku... *cuak*

Read more...

4 tahun... Lama ke?

>> Tuesday, 12 October 2010

Bulan berusia 3 hari pada 11 Okt 2010.


Jupiter bersinar terang pada waktu malam masih mengatasi kecerahan bintang-bintang lain sepanjang Oktober ini.


Pantulan cahaya dari planet venus dapat dilihat jelas pada senja hari.


Venus 4 Okt 2010




Tempoh belajar

Pejam celik pejam celik
Dah 4 tahun
Bak kata orang
Cepatnya masa berlalu

Cakap memang senang...
Proses nak lalui 4 tahun tu sendiri yang rasa
Apatah lagi bila terpaksa merantau jauh
Berjauhan dengan keluarga
Lagi-lagi pencinta keluarga macam aku...
Bersusah payah mengawal tekanan perasaan
Lagi-lagi yang emosi kerap terganggu macam aku...
Melembutkan kekerasan lidah berbahasa asing
Lagi-lagi yang 100% berbahasa melayu di rumah macam aku...


Dulu masa kali pertama jejakkan kaki ke bumi asing ini
Adik bongsu ku baru saja masuk darjah 3
Keciknye adik kakak sorang ni...
4 tahun aku di sini...
Sekarang adik dah selesai UPSR dah
Bakal masuk ke alam sekolah menengah
Dah besar dah adik kakak ni...
Kakak tak tengok adik membesar depan mata
Terasa macam adik kecik lagi sekarang ni
Padahal dah nak lawan tinggi kakak dah sekarang...

Dulu masa kali pertama jejakkan kaki ke bumi asing ini
Kaklong dan abang-abang semua masih bujang
4 tahun aku di sini...
Sekarang mereka dah tak bujang lagi
Aku dah ada 2 anak buah, dan 2 lagi bakal menyusul
Ahli keluarga semakin bertambah
Terasanye hati bila tengok gambar 4 kali raya tanpa aku...

Arrghhh... Kuatkan semangat!!!


4 tahun

Mesti banyak update2 sensasi yang aku ketinggalan
Banyaknye nak kena catch-up
Jalan-jalan kat negara sendiri pun dah lupa
Pernah ada orang bertanya padaku tentang nama-nama tempat, sebabnya dia pernah melawat KL, aku sendiri tercengang memikirkan... Jawab je la ikut sedap mulut...

4 tahun

Suasana raya di Malaysia pun aku dah tak ingat
Apa yang berlaku malam raya dan pagi-pagi raya
Macam mana agaknya rasa cium tangan orang tua di pagi Aidilfitri

4 tahun

Terasa dah tak berpijak di bumi ini
Penat lelah merantau dah tak tertanggung lagi
Walaupun keindahan negara 4 musim dah sebati dengan jiwaku

4 tahun

Lama tau!!



Read more...

Spring yang cantik~

>> Thursday, 30 September 2010

apabila pen-pen mula kehabisan dakwat
apabila kertas-kertas mula berkurangan

apabila laptop mula gagal berfungsi dengan sempurna

apabila hard disk 80gb + 320gb dah sempit (gamba+movie)

apabila bateri kalkulator dah kosong
apabila beg sekolah dah hampir terputus sebelah talinya

apabila "4-year-old" spek mata dah penuh calarnya

apabila jam tangan pun buat hal
apabila semakin banyak sweater+baju rosak

apabila semuanya seakan-akan penat berbakti untukku


adakah ini tanda-tandanya...?

tanda-tanda di akhir sebuah perjuangan mencapai segulung ijazah... 4 tahun di bumi asing ini...


4 minggu lagi sebelum peperiksaan akhir...

hari-hari semakin sibuk


hari-hari makin bertambah anganku kembali ke tanah air


hari-hari memikirkan barang-barang yang nak diangkut balik


hari-hari bertambah tekanan di fikiran dengan kerja-kerja



Ya Allah... permudahkan aku di akhir-akhir final semester ini...

berilah kejayaan padaku, Ya Allah, pada masa ini dan pada masa akan datang... dan juga di akhirat...


Kawan-kawan... Doakan aku~




Nak beli tiket balik Malaysia... mahalnye...





p/s: pagi tadi ade 1 gegaran (4.5 mag)... lama gak rase pening sbb kat tingkat 8 time tu...

----------------------------------------------------------

Cerita pasal langit pulak...

Minggu lalu dapat berita yang planet Jupiter berada pada kedudukan yang sangat dekat dengan bumi (planet ni memang jauh, tapi sebab dia besar, selalu je dapat tengok). Disebabkan jaraknya yang jauh dengan matahari, masa yang diambil untuk 1 pusingan ia mengelilingi matahari bersamaan 11.86 tahun di bumi.


Gamba planet Jupiter 27 Sept 2010 yang lalu. Pada malam tersebut, Jupiter kelihatan sangat terang hingga mengatasi kecerahan cahaya bintang-bintang lain. Cuba kira berapa bilangan bulannya yang anda dapat lihat.


Read more...

Gempa Raya

>> Thursday, 23 September 2010

14 Syawal 1431, baru saja selesai mid-sem test yang dah tertangguh 2 minggu dek kerana gempa bumi 4 September yang lalu. Cepat sungguh masa berlalu, semua dah kembali normal. Gegaran-gegaran susulan juga dah berkurangan. Kini kembali menjalani rutin harian sebagai seorang student seperti biasa. Meh nak cerita pasal kejadian gempa bumi tempoh hari. Rasa nak kongsi walaupun cerita dah basi kut...



Sabtu, 4 September 2010

Aku bangun dari tidur jam 4.30 pagi bersiap untuk bersahur. Berdiri di sebelah katil berhadapan dengan meja. Masih mamai... Lihat jam, awal lagi, tak perlu tergesa-gesa. Lalu mencapai tudung untuk ke tandas. Jam 4.35 pagi, hanya 5 minit setelah aku terjaga, belum sempat pun aku keluar dari bilik, tiba-tiba aku terkejut dengan goncangan yang teramat kuat, bilik bergegar disertai dengan bunyi yang kuat. Bunyi flat bergerak. Barang-barang di atas rak jatuh satu-persatu. Masih bergegar. Ya Allah, gempa bumi... Lantas aku duduk di bawah meja. Dalam hati hanya satu yang bermain di bibir, Ya Allah, ampunkan dosa-dosaku...

Hampir satu minit keadaan tak berubah. Bermacam-macam soalan di fikiran. Mungkinkah bangunan ini akan runtuh? Keadaan akan pulih atau bertambah teruk? Aku mengucap panjang... Akhirnya gegaran berhenti dan semua penghuni rumahku keluar dari bilik. Semua terjaga. Memang kuat gempa ini hingga mampu mengejutkan seluruh rakyat Christchurch. Ku lihat di dapur, laci-laci terbuka, ada yang jatuh ke lantai. Ya Allah... Di belakang flat, bunyi alarm kereta bersahut-sahutan.

Semua warga apartment ilam turun berkumpul di luar. Bekalan elektrik terputus menyebabkan kami terpaksa bergelap. Aku sempat bawa bersama sepinggan nasi dan daging lebih berbuka di masjid pada malam sebelumnya. Nasi yang baru dikeluarkan dari peti sejuk jadi sajian sahurku pagi itu. Alhamdulillah, sempat juga bersahur dalam keadaan huru-hara ni.

Semua penghuni apartment berkumpul di common room. Jam 6.30 pagi kami dibenarkan kembali ke bilik masing-masing. Berbekalkan keyakinan dari pihak-pihak yang boleh dipercayai, aku beranikan diri. Selesai solat subuh, aku bersedia dengan barang-barang penting dalam beg. Passport ku letak di dalam poket. Trauma kejadian 4.35 pagi itu masih difikiran. Beberapa kali aku bersama rakan-rakan serumah bergegas ke luar apabila merasai gegaran susulan yang kuat. Ketakutan yang tak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Sehingga jam 8 pagi, keadaan flat kami tak ubah seperti berada di atas kapal. Gelombang dari bawah tanah terasa seakan-akan seperti gelombang ombak. Pak guard yang meronda beri amaran supaya duduk dalam rumah, jangan pergi ke kawasan universiti. Bekalan elektrik dan talian telefon masih tiada. Berjam-jam lamanya hati ini tidak tenang dan terasa mahu menangis. Ku cuba sibukkan diri dengan memikirkan kerja-kerja assignment dan test yang bakal ku hadapi.

Christchurch diisytihar darurat. Petang itu, berita tentang cuti mid-semester kami dipanjangkan selama seminggu (hingga 12 September) membuatkan diri tersenyum kembali. Lantas buku-buku nota dan kertas-kertas kerja ku simpan kembali. Kini, masa untuk melarikan diri daripada berseorangan di Ilam ini... Aku merempat di rumah orang lain selama beberapa malam. Malam pertama, kami tidur dengan berpakai lengkap bertudung bersedia dengan sebarang kemungkinan. Ya Allah... Selamatkanlah kami...


Rabu, 8 September 2010

Gegaran susulan terkuat sejak hari pertama berlaku gempa. Oleh disebabkan itu, kami diberi cuti tambahan lagi seminggu sampai 19 September! Jadi total cuti ialah 4 minggu (2 miggu cuti mid-sem + 2 minggu cuti gempa). Gegaran-gegaran susulan masih kerap berlaku boleh dikatakan ada pada setiap setengah jam. Kini masa untuk menyiapkan diri untuk raya~

Jumaat, 10 September 2010 ---> 1 Syawal

Gempa Raya... Kemeriahan raya masih dirasai bersama gegaran-gegaran yang tak henti-henti...





Hari ini...

Sejak hujung minggu lalu gegaran susulan dah berkurangan. Pagi tadi gegaran kuat jam 6.22 pagi mengembalikan memori gegaran pertama yang dulu. Sekarang dah rasa agak stabil walaupun kadang-kadang terasa bergoyang (sebab kepala pening duduk tingkat 8 bangunan fizik). Keadaan di tingkat 8 tu rasa senget. Lantai tak rata - jubin terangkat. Mana tidaknya, bak kata 'head of deparment' kami, Rutherford building tu bergerak ke atas dan ke bawah setinggi 9 cm pada hari kejadian itu. Bangunan sebesar dan sepanjang itu (sila refer gamba bangunan di atas blog ini) bergoncang. Bayangkanlah keadaan di dalamnya...

Alhamdulillah, tiada kerosakan pada barang-barang aku. Bersyukur atas rahmat Allah... Banyak betul hikmah gempa bumi ni...
-hubungan ahli rumah kami semakin erat
-tarikh hantar projek report ditangguhkan
-viva cancel
-assignment dikurangkan

Tapi, tapi, tapi, bukan boleh berlengah-lengah lagi dah... Cuti sakan 4 minggu sampai otak pun dah beku... Raya punya pasal... Masa semakin suntuk, tak ada cuti lagi sehingga tamat peperiksaan akhir. Study week pun dikurangkan menjadi separuh minggu. Poster projek kena siapkan sebelum minggu exam!

Read more...

Planet-planet

>> Saturday, 28 August 2010

Musim sejuk kian berakhir. Tahap kebekuan yang makin berkurangan pada malam hari membuatkan percerap-pencerap tegar di New Zealand makin ligat menghabiskan masa di malam hari untuk merakamkan imej-imej cantik di langit. Maklumlah, pada waktu ini malam lebih panjang daripada siang berbanding pada musim panas.

15 Ramadan yang lalu bersempena bulan purnama atau bulan penuh, bulan kelihatan sangat cantik dan kebetulan pula cuaca pada malam itu sangat cerah, inilah hasil terbaik oleh salah seorang ahli astronomi Nz.



Bulan Penuh di New Zealand, 15 Ramadan 1431


Berikut adalah gambar-gambar planet di sistem suria kita yang dapat dilihat dari permukaan bumi. Kalau pencerapan dibuat di angkasa melalui satelit, imej akan lebih jelas. Gambar hasil cerapan ahli astronomi Nz pada Jumaat malam Sabtu, 27 Ogos 2010.


Planet Venus/Zuhrah/Kejora

Planet Venus hanya kelihatan sebahagiannya saja kerana itu adalah cahaya pantulannya dari matahari. Venus terletak lebih hampir dengan matahari berbanding bumi (planet kedua dari matahari).


Planet Jupiter/Musytari dan 3 bulannya

Musytari, planet terbesar di sistem suria, ada lebih 60 bulan. Hanya 4 daripadanya yang femes sebab dapat dilihat dari teleskop-teleskop biasa. Tapi hanya 3 bulan saja yang kelihatan pada gambar di atas ni. Mungkin kerana 1 lagi tersorok di belakang planet tu.

Planet Saturn/Zuhal

Planet zuhal sangat glemer dengan gelangnya yang cantik. Musytari pun ada gelang, tapi tak berapa jelas. Apa-apapun, Zuhal memang cun. Kecantikan zuhal ni dapat dibuktikan dengan gambar-gambarnya yang dicerap oleh teleskop-telekop di angkasa.

Read more...

Bulan-bulan Islam

>> Tuesday, 24 August 2010

Dah lama nak cerita pasal anak bulan, tapi masa tak mengizinkan. Sejak awal bulan puasa, terlalu banyak tugasan menghalang aku untuk ceritakan kisah anak bulan. Bukan sebab apa, cuma waktu ini saja ramai yang rajin bertanya.

21 Surah Anbiyaa: Ayat 33: Dan Dialah yang telah menciptakan malam dan siang, matahari dan bulan. Masing-masing beredar pada garis edarnya.

Bila tiba bulan Ramadan, baru ramai yang ambil kisah pasal pencerapan anak bulan. Anak bulan muncul pada waktu ini sajakah? Bagaimana pula dengan kiraan di kalendar? Inilah fungsi ahli-ahli falak untuk mencerap dan menguji ketepatan kiraan fasa-fasa bulan.

Soalan lazim rakan-rakan di sini, kenapa kami di New Zealand tak na
mpak anak bulan malam yang sama dengan penduduk di Malaysia? Tahun lalu. kami beraya sehari lewat dari Malaysia kerana anak bulan Syawal tak muncul-muncul pada malam pencerapan tersebut. Tahun ini pula kami berpuasa lewat sehari.

Suka juga bila ada yang bertanya itu dan ini. Ini menunjukkan anda prihatin tentang keajaiban ciptaan Tuhan. Setiap yang berlaku menunjukkan kekuasaan-Nya. Ok, cerita pasal anak bulan pula.

Kalau ikut bulan Islam, tarikh 1 haribulan bermula apabila kita dapat lihat cahaya pantulan pertama di permukaan bulan. Jangan ter'confuse' dari term "New moon" yang refer kepada fasa bulan yang tidak memantulkan cahaya langsung dari matahari (kerana kedudukannya di antara bumi dan matahari). Kitaran bulan ialah setiap 29.53 hari (kalendar bulan sistem sinodik). Jadi kita akan lihat fasa bulan yang sama antara 29 atau 30 hari setiap bulan. Oleh sebab itu, setiap jam dan setiap minit, perubahan fasa bulan berlaku.

Setiap observer dari pelbagai tempat kat bumi lihat bulan pada waktu yang berbeza, jadi mereka melihat pada tahap kematangan bulan yang berbeza. Sebagai contoh, malam 10 Ogos yang lalu, "New moon" bermula kira-kira waktu siang di NZ dan pada waktu maghrib di sini hanya 0.3% dari permukaan bulan saja yang memantulkan cahaya (sangat-sangat mustahil untuk dilihat dengan mata kasar). Tapi di Malaysia (waktu maghrib mereka), tahap pantulan mungkin dah mencapai lebih 1.3%. Dan mungkin di India atau di Timur tengah, mereka dapat lagi jelas anak bulan pada malam yang sama. Adalah mustahil jika negara-negara di Barat tidak dapat mencerap anak bulan pada malam yang sama setelah negara-negara di Timur sudah dapat mencerap anak bulan dengan jelas. Jadi, possible la negara-negara di Barat mula 1 Ramadan awal sehari dari negara-negara di Timur.

Bawah ni gambar anak bulan 1 Ramadan yang dapat dilihat dari New Zealand tahun ini. Kenapa sangat jelas?

Malam 1 Ramadan di NZ 2010

Malam seterusnya setelah 1 hari kitaran fasa bulan berlaku di seluruh dunia, kami di NZ baru dapat melihat cahaya pertama pantulan bulan Ramadan ini. Kelihatan bulan dah sangat matang sebab umurnya dah menjangkau lebih 1 hari. Di sini, kami dapat lihat jelas tanpa perlu naik ke tempat tinggi untuk mencerap. Teori seterusnya, adakah anda rasa penduduk NZ akan meraikan 1 Syawal hari yang sama dengan Malaysia?

Bulan terbit pada waktu senja pada usia kira-kira 13 hari
10 Surah Yunus: Ayat 5: Dialah yang menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya dan ditetapkanNya manzilah-manzilah (orbit-orbit), supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan perhitungan (waktu). Allah tidak menciptakan yang demikian itu melainkan dengan hak. Dia menjelaskan tanda-tanda (kebesaran-Nya) kepada orang-orang yang mengetahui.

Kredit gamba-gambar : Maurice-lunartex, NZ Astronomer

Read more...

Genggam bintang di langit

>> Thursday, 15 July 2010

Baru saja selesai oral talk – 15 peratus daripada keseluruhan markah projek tahun ni. Rasa debaran semasa berdiri di hadapan ramai tadi terhenti sekelip mata. Betul ke dah habis ni? Macam mana performance aku tadi? Aku tak dengar komen dari siapa pun lagi. Tak ada wakil pelajar melayu yang saksikan persembahan aku yang selama 15 minit tadi. Walaupun dah ajak-ajak ayam… Hehe… Secara peribadi, aku dah buat yang terbaik dan yang termampu kulakukan. Tapi kalau dapat dengar komen dari kawan-kawan, dapat la aku perbaiki untuk yang akan datang Insya-Allah…


Cuba mencapai bintang di langit, mampukah?

Tak sangka selama 15 minit aku berdiri sendirian di hadapan hadirin yang rata-ratanya dikalangan pensyarah-pensyarah dan pelajar PhD. Ini bukanlah kali pertama aku lakukan presentation di sini, cuma bezanya dulu hanya kurang 5 minit dan hanya disaksikan oleh rakan sekelas. Selesai sudah… Lega betul… Next, perkara yang perlu ditumpukan ialah selesaikan analisis data-data dan dapatkan result akhir! Tarikh akhir hantar final report ialah kurang dari 2 bulan dari hari ini.



Aku mengkaji bintang tak pernah kulihat bagaimana rupanya. Dengan hanya melihat gambarnya, adakah itu bintang yang sebenarnya aku kaji sejak Disember lepas? Mungkinkah aku telah diperdaya? Adakah bintang itu tahu aku sedang memerhatikan segala perubahan sifatnya? Data yang diperoleh diubah suai menjadi spectrum yang cantik. Sedangkan rupa asalnya jauh berbeza dari nombor-nombor yang tertera di skrin komputer.



Bulan Syaaban 1431 - Imej di ambil oleh Ahli Astronomi Nz

Itulah permainanku setiap hari sepanjang tahun ini. Aku memang mengkaji bintang. Bila ditanya di mana tempatnya, apa rupanya, aku tak tahu… Bintang itu tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Terlalu jauh dan cahayanya tak terang seperti bintang-bintang kelihatan pada malam hari. Tugasku hanya menganalisis data yang diperolehi daripada pemerhati di balai cerap di sini. Data yang diambil perlulah benar-benar berkualiti untuk proses analisis. Kajian ku hanya berkisar tentang bintang-bintang yang berdegup seperti jantung. Menarik kan? Tiap kali memandang langit, aku terfikir, bintang-bintang yang menghiasi malam pastinya telah jelas dilaporkan secara terperinci oleh ahli-ahli astronomi. Terlalu banyak pemerhati dari seluruh dunia menyaksikannya sepanjang masa. Dan termasuklah jurufoto astonomi yang gemar merakamkan objek-objek menarik di langit pada malam hari. Malam… Bagaikan ada tersimpan sejuta rahsia alam…



Swan Nebula - imej cantik hasil cerapan

Read more...

Semester Terakhir Tahun Kepujian

>> Sunday, 11 July 2010

Esok mula sekolah... Habis dah cuti...

Dengan harapan, cepat2 la masa berlalu... tak sabar sangat nak balik Malaysia hujung tahun ni...

Boleh jumpa anak buah yang dah besar ni....

Dan lagi 2 anak buah coming soon....


Rania Humaira... Dah 8 bulan umurnya... Cepat nye...

Read more...

winter break

>> Wednesday, 7 July 2010

2 minggu cuti musim sejuk. Pada awalnya aku dah bayangkan cuti kali ni mesti takkan sehebat cuti musim luruh yang lepas. Tak terbayang seronoknya cuti 3 minggu itu. Yelah, bercuti dengan famili, ada ke benda lagi indah daripada itu? Aku dah berkira-kira cuti ni aku kena bekerja siang malam siapkan kerja-kerja tertangguh dek kerana musim peperiksaan yang lepas. Banyak yang perlu dipelajari, dan aku perlu bersedia untuk oral presentation selepas tamat cuti ini. Dalam kepala dah berserabut sebab supervisor tinggalkan aku 2 minggu ni sebab ambil cuti.

Dalam kesesakan minda memikirkan tugas-tugasan, aku masih mampu riang gembira bercuti. Banyak juga aktiviti dalam seminggu. Hiburkan diri dengan talent night, bergambar sakan dengan kawan-kawan, merempat rumah orang lain, shopping-shopping, makan-makan, interview SPA, dan trip main ski di Mount Hutt. Anggaran ratusan NZD habis dalam seminggu! Huyyooo... tak sangka cepat betul duit mengalir... Insaf2...

5 hari terakhir cuti baru terkial-kial nak mula cari bahan untuk presentation.

Tekun, tekun, tekun...

Wahai cikgu Karen, pulanglah... bantulah aku... Next week tau presentation...

Read more...

EXAM Mode

>> Tuesday, 22 June 2010

Apa khabar orang kampung



Lama sudah tak berjumpa



Minta-minta semuanya



Di dalam sihat sejahtera






Apa khabar orang kampung



Bilakah dapat berjumpa



Kirim-kirimlah berita



Janganlah senyap sahaja






Orang kampung merantau jauh



Mencari ilmu di kota



Orang kampung merantau jauh



Mencari rezki di kota



Asal ada kemahuan



Semua jadi kenyataan






Cukuplah sampai di sini



Lain kali cerita lagi



Doa restu untuk kita



Panjang umur kita berjumpa









Read more...

Kegembiraan dalam kesunyian

>> Thursday, 27 May 2010

Terlalu banyak perkara yang terbuku di hati, terlalu banyak yang ingin diucapkan, terlalu banyak bebanan yang dipikul, semuanya ingin ku luahkan. Tetapi, kesuntukan masa membatasi segalanya. Dan ia hanya tersimpan sendiri. Tidak diluahkan. Menambah beban. Menyesakkan minda.

Genap 2 bulan berlalu aku tinggalkan blog ini tanpa update. Dimulakan dengan kegembiraan yang tidak terhingga, kemudian tangisan hadir menemani tanpa mengira waktu dan tempat. Dan kini, kembali gagah berdiri seperti sedia kala. Tak sangka proses rawatan kedukaan ini mengambil masa yang lama.

Cuti Easter selama 3 minggu pada bulan April yang lepas masih bermain-main difikiranku. Tak pernah kurasakan hati sebegitu tenang sejak aku kembali ke bumi Christchurch ini pada bulan Januari yang lalu. Mana tidaknya, setiap hari menjalankan rutin yang sama, jumpa orang yang sama, seperti kebiasaan rakan-rakan serumah yang lain. Kehadiran keluarga melawatku menaikkan semangatku seakan-akan terbang jauh ke langit biru. Aku gembira. Aku suka. Aku tertawa. 17 hari kurasakan sangat singkat. Cuti Easter berlalu. Ayah Umi kembali semula ke tanah air. Aku kembali bersendirian.

Selesai hantar mereka ke airport, air mata mengalir laju. Dunia seakan-akan kosong. Tak ada teman dalam bilik yang sempit ini. Sunyi. Tak ada suara gelak-tawa lagi. Menangis. Keesokan hari, assignment yang perlu dihantar hanya separuh siap. Aku tak peduli. Melayan mood sunyi menjadi aktiviti sepanjang hari. Aku cuba taip blog, tapi hanya di 'post' ke blog peribadi. Mungkin aku rasakan benda-benda macam ni tak perlu dihebah-hebahkan kepada semua orang. Lagipun, kalau post kat blog ni pun mesti orang boring baca cerita sedih selalu. Macam la orang lain tak sedih.

4 hari berikutnya, aku kembali normal. Banyak tugasan yang lebih penting harus ku lakukan berbanding melayan mood sedih itu. Aku cuba anggap kesibukan diri ini adalah lebih baik daripada kelapangan waktu yang hanya membuatkan aku mengelamun jauh. Semangat dari kaum keluarga sangat membantu rawatan emosi ku. Tapi, gangguan emosi ini sedikit mengganggu masa tidurku. Pagi-pagi tak bermaya. Petang longlai. Malam tak dapat tidur. Kepala seakan-akan terlalu berat.

Minggu kedua selepas cuti, aku kembali lemah. Tak percaya bila ada beberapa orang yang mengatakan aku kelihatan pucat. Apa sebenarnya masalahku ini? Masalah assignment dan kerja-kerja yang tertangguh, mungkin. Ayah kata pergi klinik! Aku tangguh sehari, baru aku pergi. Doktor kata kesihatan aku perfect, lalu dia bawakan aku ke counselor. Tak pasal-pasal kena kaunseling. Demikianlah maksudku dalam status facebook hari itu, "ingatkan dah sembuh, rupa-rupanya masih dalam rawatan."

Then, jumpa lecturer, ngadu tak paham satu apapun yang dia ajar. Dengan kesiannya, lecturer tu bagi aku kerja tambahan untuk aku buat sebagai rawatan sampingan. Tapi aku rasa lega sangat lepas lecturer tu tahu situasi aku masa tu yang tak mampu buat kerja-kerja yang memerah otak.

Semuanya dah berlalu. Dah sebulan aku kembali menjalani kehidupan seperti sedia kala macam awal tahun lalu. Kalau nak cerita kat orang-orang sekeliling, mungkin banyak pendapat peribadi masing-masing. Mungkin aku kelihatan manja, lemah, tak dapat kawal emosi, dan tak mampu nak hadapi semua dugaan ini. Tapi inilah yang aku hadapi. Honours Year memang hebat. Menguji ketahanan mental dan emosi!!

Lagi 2 minggu nak exam! yeay! Study lagi... Aku suka ke'busy'an... Kesibukan yang memenuhi aktiviti seharianku yang boleh hilangkan rasa sunyi tinggal sendiri.

Anyway, aku suka tahun ni... (walaupun berat hati nak mengiyakan)

Read more...

Makhluk Asing?

>> Friday, 26 March 2010

Soalan paling glamor bila bercakap tentang astronomi, Wujud ke makhluk lain yang hidup di planet lain selain bumi? Dari tahun pertama aku belajar bidang ini, hingga tahun keempat, soalan ini berulang kali dipersoalankan tidak kira sesama rakan dah juga pensyarah. Baru-baru ini, aku rajin hadirkan diri ke seminar-seminar yang dianjurkan pihak department. Mula-mula aku pergi atas desakan pensyarah, kemudian kerana malu dengan orang lain. Mungkin bagi mereka seperti satu kepastian untuk pergi ke seminar mingguan itu. Lama-lama aku rasa rugi kalau tak dapat ke seminar. Alangkah bagusnya kalau dari tahun lepas aku rajin macam ni.

Isnin lalu, aku berpeluang untuk berjumpa dengan saintis dari UK dalam seminarnya berkenaaan 'Astronomi 20 tahun selepas ini'. Perkara paling aku kagum ialah nasihatnya kepada graduate student yang baru dan saintis2 muda. Tak pernah aku dengar luahan pendapat sebegini dari mulut sesiapa. Antara nasihat beliau yang aku dapat tafsirkan di sini ialah;

Pilihlah projek kajian yang masih belum habis diteroka atau teknologi baru akan menyumbang kepada bidang lain... Alasan saya pilih astronomi adalah kerana teknik-teknik yang digunakan dalam bidang ini berkembang dengan begitu pantas sekali.

Dari pandangan aku, umur beliau mungkin cecah 80 tahun. So, logiklah nasihatnya seperti seorang datuk kepada cucu-cucunya. Terlalu banyak pengalaman yang beliau ada dalam bidang sains membuatkan aku terasa setiap patah yang keluar dari mulutnya adalah berdasarkan apa yang dia pernah lalui. Berbalik kepada tujuan asal aku taip blog kali ni, soalan tentang 'makhluk asing' juga timbul dalam sesi soal jawab itu. Jawapan yang diberikannya simple, tapi complex. Haha...
Kalau kita nak tahu tentang kehidupan asing di planet atau bintang lain, kita kena faham tentang asal usul kehidupan manusia di bumi. Tak ada sesiapa pun (saintis2) dapat terangkan macam mana boleh wujud bumi yang tersangat2 sempurna untuk membolehkan hidupan dapat hidup di atasnya. Selagi kita tak dapat faham semua ni, selagi itu kita takkan dapat membayangkan wujudnya makhluk asing.

Bagi aku, jawapan yang diberikan oleh beliau dalam ucapannya itu ada berunsur-unsur ketuhanan la... Apa pendapat anda? Setuju? Tapi kesimpulannya, aku pun tak faham apa yang dia nak sampaikan. Hehe... Dah tamat story nih.


Lagi seminggu nak cuti
Cuti start 2 April 2010
Lagi seminggu term pertama semester ini akan berakhir
Cepatnya masa berlalu
Isnin ada test [2 jam] kol 8.30 pagi
Dah study belum? Tak abis lagi...
Assignment bertimbun2 kene anta lepas cuti
3 minggu cuti
Tapi nak cuti sakan jugak
Dulu lecturer cakap pilihlah subjek yang awak enjoy
Tapi aku enjoy holiday!
Hahaha
Lagi 60 jam nak test
Study la wahai Nashrah~~
Kalian semua, doakan yek!!
Ya Allah, berilah kekuatan untuk ku terus berjuang!
Semangat!!

Read more...

The Roots of Education are Bitter, But the Fruit is Sweet!

>> Thursday, 4 March 2010

Alhamdulillah, minggu kedua semester ini kembali memberikan ketenangan kepadaku. Boleh dikatakan agak relaks berbanding minggu lepas sebab aku bercuti daripada "research project". Satu per satu masalah dah selesai. Pilihan subjek-subjek 400-level dah diputuskan setelah berbincang dengan beberapa orang cikgu. Pendapat mereka ada kalanya menggoyahkan pendirianku. Tetapi, nasihat yang agak 'logik' dari mereka aku ikut saja. Mungkin lebih baik aku turuti mereka yang lebih arif dalam bidang ini.

Atas nasihat kawan-kawan dan juga cikgu, aku nekad untuk teruskan projek yang telah aku mulakan summer lepas iaitu kajian ke atas sebiji bintang. Projek ini akan diteruskan bersama supervisor dan research group yang sama. Mungkin lebih elok bagiku untuk bekerjasama dengan mereka yang dah aku kenal. Proses kajian bintang ini tidak banyak bezanya, hanya lebih terperinci daripada apa yang aku dah lakukan sebelum ini. Cuma kali ini, aku akan mengkaji 2 biji bintang dan berat kajian lebih kurang 3 kali ganda dari sebelumnya. Insya-Allah, berbekalkan pengalaman yang lalu, aku harap segalanya akan berjalan dengan lancar.

Kesibukan diri makin bertambah-tambah. Hadirkan diri ke kelas, meeting dengan supervisor, research group, seminar, assignment sana-sini, tutorial, discussion... Jadual mingguan bertukar-tukar (sape-sape nak jumpa, sila buat appointment dulu ye!). Waktu kelas tak menentu sebab masing-masing ada komitmen sendiri. Aku masih tak dapat terima perubahan drastik ini. Aduhai~

Lapar...

Read more...

keluar mulut buaya, masuk mulut naga

>> Saturday, 27 February 2010

Perumpamaan yang mampu menggambarkan situasi aku sekarang. Aku bingung dalam memilih subjek untuk tahun ini. Semuanya terlalu specific dan teramat berat bagi ku. Masing-masing tidak banyak persamaan antara satu sama lain. Tiada subjek yang berkenan di hati. Ada saja yang tidak kena. Ada yang lebih kepada kerja-kerja menyelesaikan masalah, ada yang lebih kepada perbincangan. Tak sangka dugaan pertama tahun ini ialah memilih subjek. Belum lagi menempuhinya dah aku terasa seakan-akan mahu putus asa. Saat ini aku terasa seperti meletakkan diri dalam bahaya, dalam cubaan menguji ketahanan mental. Adakah tahun ini merupakan eksperimen ke atas diri sendiri? Aku kembali tertekan.

Semalam merupakan hari akhir report summer project perlu dihantar. Minggu pertama kelas bermula ni aku terlalu busy siapkan report. Alhamdulillah, semuanya dah selesai. Rasa lega sangat walaupun next week akan mula projek baru (honours year project). Tak sempat nak menikmati weekend, dah ada banyak soalan assignment lecturer kasi. Penyeksaan apakah ini? Summer project presentation masih tertunggak, mungkin next week atau minggu seterusnya. Aku tiada pilihan, semuanya harus dilakukan. Tak ada jalan lain.

Mampukah aku menempuhi hari-hari mendatang? Adakah tangisan akan menemaniku bersama-sama melayari tahun ini? Cukup kuatkah aku? Matlamat setinggi gunung, tenaga tak sebanyak mana. Nak menjulang diri ke awan, sayap yang ada terlalu kecil. Kejutkan aku dari mimpi ini... Ya Allah... Ke mana hilangnya keyakinan diri ku...

Read more...

Lake Tekapo, New Zealand

Blogger templates made by AllBlogTools.com

Back to TOP