Bintang-bintang
>> Sunday, 18 October 2009
Kaki mengayuh basikal selaju yang mampu
Harap tak terlewat untuk sampai ke kelas kegemaranku itu
Sejak akhir-akhir ni selalu pulak melewatkan diri ke kelas
Bukan tak sengaja, saja menambah aktiviti di pagi hari
Apa lagi kalau bukan bermain-main permainan di internet
Bila dah suntuk, baru kelam-kabut menyiapkan diri
Lalu, sampai saja di pintu masuk kelas, termengah-mengah dibuatnya
Duduk di tempat duduk biasa
Tidak terlalu depan dan bukan di belakang sekali
Nota-nota dikeluarkan daripada beg
Mengembalikan memori yang dipelajari hari-hari sebelumnya
Senyap, memerhati pensyarah di depan
Kelas Astronomi, ilmu alam semesta
Dipenuhi dengan teori-teori, nombor-nombor, simbol-simbol dan pelbagai gambaran
Apabila mendengar setiap penjelasannya, boleh masuk ke dalam dunia khayalan
Dan tiba-tiba berada di alam lain
Tidak dapat dinafikan, kadang-kadang terlena seketika
Inilah yang selalu berlaku sepanjang tiga tahun mengambil jurusan ini
Hari ini belajar mengenai "Stellar Evolution"
Kitaran hidup bintang-bintang di angkasa
Dan juga Bintang terhampir dengan kita, Matahari
Setiap bintang akan dikelaskan mengikut ciri-ciri yang ada padanya
Biasanya ia akan dikelaskan kepada jisimnya untuk menceritakan kitaran hidupnya
Ini kerana, jisimnya lah yang akan menentukan jumlah sumber tenaga yang ada di dalam jasad bintang tersebut
Dan ketika ini, ilmu Fizik dan Kimia amat diperlukan
Persamaan-persaman Kimia yang menerangkan kehilangan tenaga dalaman, teori Fizik tentang pertambahan suhu, tenaga tarikan dan penolakan di bahagian dalam bintang
Pensyarah tersebut menjalankan tugasnya dengan baik sekali
Setiap teori akan dikaitkan dengan pemerhatian yang dibuat oleh ahli-ahli Astronomi
Bukan sekadar teori kosong, kerana setiap teori juga adalah daripada pemerhatian
Dan pemerhatian juga akan membuktikan teori yang dibuat adalah benar
Akan tetapi, sepanjang tiga tahun menuntut ilmu ini
Banyak juga teori-teori yang dipelajari hanya tercipta sebagai teori
Tidak ada yang membuktikan kebenarannya
Malah, ada yang akan disangkal oleh ahli Astronomi lain, dan mencipta teori baru
Pensyarah berdiri di depan ini juga pernah menyebut, dia pernah mencatat 50 alasan untuk menyangkal teori (yang ada dalam buku-buku teks) tentang kenapa bintang boleh bertukar ke saiz yang teramat besar berbanding saiz asalnya
Sambil menerangkan, dia sendiri tergelak kerana dia hanya menyangkal kebenaran teori tersebut, tetapi tiada teori baru yang dicipta
Pagi ini, aku belajar sesuatu yang menarik
Teori-teori dalam subjek "Stellar Evolution" ini dikaitkan dengan Matahari
Menarik bukan?
Bintang diibaratkan seperti manusia
Mempunyai jangka hayatnya sendiri
Awal kelahiran, muda, tua, dan pengakhiran hanyatnya... Letupan besar!
Dan Matahari juga satu hari nanti akan mengalami proses yang sama
Pensyarah tersebut membayangkan situasi yang bakal berlaku ketika itu
Semuanya hanya berkaitan dengan Matahari
Apa yang bakal berlaku pada Bumi?
Aku hanya melihat kitaran hidup Matahari yang dilakarkan
Tidak ada sedikitpun dikaitkan dengan Penciptanya
Masih kaburkah dengan kebenaran yang ada di langit dan di bumi?
Semuanya adalah bukti!
Bukti Yang Maha Berkuasa

0 comments:
Post a Comment